Gudang usang simpan rokok dan minuman keras bernilai RM4.6 juta diserbu

Kelihatan kotak rokok dan minuman keras yang dirampas Kastam.

Oleh Dean Adam

BINTULU, 8 Feb: Meskipun berselindung di sebalik sebuah gudang usang yang dijadikan tempat penyimpanan rokok dan minuman keras tidak lulus cukai, pihak Kastam Sarawak berjaya membongkar sindiket itu dengan merampas barangan rampasan pelbagai jenama dengan anggaran nilai dan cukai RM4.6 juta.

Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, dalam serbuan kira-kira jam 11 pagi di Jalan Sungai Nyigu pada Khamis, pihak Kastam telah menjumpai sejumlah rokok dan minuman keras
pelbagai jenama yang disyaki tidak lulus kastam di dalam setor sebuah gudang.


Katanya, selain itu, sebuah kontena dan sebuah lori lock van yang berada di dalam gudang tersebut juga mengandungi sejumlah rokok dan minuman keras pelbagai jenama yang disyaki tidak lulus kastam.

“Sebanyak 5.38 juta batang rokok, 3,890.88 liter minuman keras, sebuah lori berkunci dan satu unit kontena berukuran 20 kaki telah disita.

“Anggaran keseluruhan nilai dan cukai barang kes yang di sita ialah RM4.6 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sharifah Halimah menambah, hasil daripada maklumat perisikan, gudang usang tanpa nama tersebut disyaki telah dijadikan tempat penyimpanan rokok dan minuman keras tidak lulus kastam.

Katanya, penyimpanan rokok dan minuman keras di gudang usang tersebut dibuat bagi mengelak tindakan mereka dikesan oleh pihak berkuasa.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya. —DayakDaily

Kelihatan kotak rokok dan minuman keras yang dirampas Kastam.
Kelihatan kotak rokok dan minuman keras yang dirampas Kastam.