Guan Eng perlu mengaku ekonomi Malaysia sudah merosot — Wan Junaidi

Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar - file pic

Oleh Dean Adam

KUCHING, Jan 10: Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini melahirkan kerisauan beliau apabila membaca setiap hari ada agensi dan bank luar negara menurunkan penarafan dan unjuran ekonomi kita.

Kata beliau, pada minggu lepas, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng marah apabila media utama Jepun, Nikkei mengeluarkan laporan yang sangat negatif tentang ekonomi Malaysia.


“Guan Eng mengeluarkan kenyataan hari itu dan menuduh bahawa laporan Nikkei tidak tepat dan tidak memberi gambaran yang betul.

“Malah, pada Isnin lepas, syarikat penarafan kredit antarabangsa Moody’s memberi amaran bahawa Sovereign Credit Rating (SCR) negara akan diturunkan taraf jika hutang dan defisit negara terus meningkat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Junaidi menambah, agensi kerajaan RAM juga melaporkan bahawa keyakinan perniagaan tentang ekonomi Malaysia bagi separuh tahun pertama tahun ini telah jatuh ke tahap paling rendah di dalam sejarah.

Jelasnya, semalam, Bank DBS dari Singapura juga menurunkan penarafan untuk Bursa Saham Malaysia akibat dari ekonomi negara semakin lembab.

“Pagi ini pula, institusi kewangan utama Jepun, Nomura menurunkan penarafan untuk saham Malaysia dan memberi amaran yang sama bahawa penarafan kredit negara bakal diturunkan juga.

“Ini kerana hutang negara semakin bertambah akibat defisit kerajaan yang semakin naik bagi tahun 2018 dan 2019 berbanding defisit negara yang semakin menurun tiap-tiap tahun di bawah kerajaan sebelum ini.

“Kalau defisit lebih tinggi, maka hutang negara naik dengan lebih cepat. Di bawah kerajaan PH, defisit negara jauh lebih tinggi berbanding kerajaan BN,” ujarnya.

Nomura juga kata Wan Junaidi berpendapat bahawa kerajaan PH tidak membuat sebarang reformasi sejak menang untuk merangsangkan ekonomi.

“Untuk makluman anda, BN tidak membayar sebarang dedak kepada Nikkei, DBS Bank ataupun Nomura.

“Jadi, Guan Eng perlu mengaku bahawa ekonomi Malaysia sudah merosot dengan begitu ketara dan pantas selepas kerajaan PH menang pada PRU14.

“Tetapi apa dia buat? Kalau dia bukan sibuk jaja cerita dongeng hutang RM1 trilion dia atau membuat pusingan-U, dia sibuk mencari gaduh.

“Semalam, dia layan tuduhan WSJ tentang negara China.

“Hari ini, dia gaduh dengan Sarawak dan MCA. Malaysia kini benar-benar perlu diselamatkan,” katanya. — DayakDaily