KOTA SAMARAHAN, Sept 9: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato Idris Buang meminta kerajaan negeri dibawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan kerajaan pusat dibawah Pakatan Harapan (PH) mengenepikan perbezaan ideologi politik dan berkerjasama menjaga kepentingan penduduk negeri ini.
“Dalam pergolakkan politik…kita harus bekerjasama. Kerajaan negeri dan kerajaan pusat mungkin ada berlainan ideologi (politik), tetapi kita semua harus bekerjasama demi kepentingan rakyat,” katanya ketika menjadi tetamu kehormat merasmikan Program Kembara Siswa Patriotik 2018 anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak di Sekolah Kebangsaan (SK) Pinang, Kampung Pinang di sini, hari ini.
Idris sehubungan itu tidak mahu kedua-dua kerajaan terbabit berkelahi kerana perbezaan ideologi politik dan sebagai seorang ADUN biasa akan menyokong sebarang usaha mengkukuhkan kerjasama kedua-dua kerajaan terbabit demi menjaga kepentingan rakyat negeri ini.
“Kepentingan rakyat, setiap inci harus berikan perhatian dan keutamaan serta kejayaan harus disuntik disitu supaya rakyat merasai nikmat ditadbir oleh kerajaan yang benar bertanggungjawab,” katanya yang juga mahu rakyat Sarawak menyumbang ke arah terbabit dengan menyokong apa sahaja yang baik.
Selain politik, beliau juga meminta kalangan pendidik, institusi pengajian tinggi dan kementerian dari kedua-dua kerajaan terbabit supaya menjaga keamanan negeri ini supaya rakyat tidak kembali hidup tersiksa seperti ketika zaman darurat komunis.
“Tidak ada kerajaan di dalam dunia yang mahu menyiksa rakyatnya. Kalau kerajaan terbabit didirikan atas dasar demokrasi yang baik, kita bukan kerajaan kuku besi seperti komunis dulu tetapi atas dasar demokrasi dengan ciri serta nilai yang baik,” katanya.
Disamping itu Idris berharap penganjuran program tersebut dapat mencetuskan semangat patriotisma bukan sahaja dikalangan siswa institusi pengajian tinggi tetapi juga kalangan penduduk Kampung Pinang dan tempat lain di negeri ini.
Program terbabit membabitkan sukarelawan siswa membaikpulih dua rumah penduduk kampung, membuat aktiviti pemantapan akademik bagi murid pra sekolah, aktiviti bersama pelajar Muslim dan aktiviti khidmat komuniti dalam bengkel membuat cakoi leleh dan coklat, bengkel membuat pau gebu dan rewang kenduri rakyat. — DayakDaily