GPS perlu menang besar pada PRU15 — Awang Tengah

Awang Tengah (barisan tengah, duduk tengah) merakamkan kenangam bersama ahli-ahli PBB Cawangan Bekenu. Foto: Ukas

KUCHING, 12 April: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu mencipta kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), beliau berkata ia penting bagi memastikan rakyat terus yakin terhadap kepimpinan negara dan Negeri sekaligus membawa pelbagai pembangunan.

“Untuk melindungi hak dan kepentingan hidup rakyat, kita mesti menang dalam PRU15 kelak kerana ia akan menjadi landasan kepada suara rakyat didengari terutamanya melibatkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.


Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Agung PBB Cawangan N.71 Bekenu di sebuah hotel di Miri.

Awang Tengah yang juga Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menegaskan, kemenangan GPS dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) yang lepas merupakan satu manifestasi kepercayaan rakyat terhadap kerajaan kepimpinan GPS.

Katanya, sebagai ‘tulang belakang’ kepada kerajaan Sarawak, GPS yang diterajui Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg terus memperjuangkan hak-hak rakyat Sarawak.

Ujar beliau, PBB bersama rakan-rakan parti dalam GPS terus menjadi ‘payung pelindung’ kepada hak dan kepentingan rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri ini.

“Ini merupakan manifestasi sokongan dan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan GPS yang mempunyai gerak kerja yang tersusun dan efektif semasa pilihan raya negeri lepas,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Kanak-Kanak merangkap Ketua PBB Cawangan Bekenu Datuk Rosey Yunus, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembanguan Usahawan merangkap Ketua PBB Cawangan Lambir Dr Ripin Lamat dan MP Sibuti Lukanisman Awang Sauni. — DayakDaily