GPS harap semua ahli politik akur titah Al Sultan Abdullah henti ‘politicking’

Dato Sri Fadillah Yusof
Advertisement

KUCHING, 27 Okt: Gabungan Parti Sarawak(GPS) akur akan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya semua ahli politik menghentikan segala ‘politicking’ yang boleh mengganggu gugat kestabilan pemerintahan negara.

Ketua Whip GPS Datuk Seri Fadillah Yusuf berkata, ini selari dengan prinsip dan pendirian GPS selama ini yang konsisten mahu supaya semua pihak menghentikan ‘politicking’.

GPS katanya fokus kepada usaha menangani penularan Covid-19 sertapemulihan ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik berkenaan.

Advertisement

“GPS berharap semua pihak akur akan titah dan nasihat Al Sultan Abdullah yang sentiasa mengutamakan rakyat dan negara.

“Di samping memperakui kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak ini dengan baik dan berkesan serta amat mempercayai keupayaan Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak Covid-19 dari terus merebak,” kata Fadillah menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau yang juga Menteri Kanan Kerja Raya, rakyat seharusnya menjadi keutamaan oleh semua ahli-ahi politik dalam apa jua keadaan terutama dalam berdepan cabaran penularan Covid-19 ketika ini.

Menurut Fadillah lagi, GPS menjunjung kasih titah Al Sultan Abdullah akan betapa pentingnya Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen akan datang ini, dalam menangani wabak Covid-19.

“GPS menjunjung kasih titah Al Sultan Abdullah, berhubung tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat di negara ini.

“GPS juga menjunjung kasih akan kebijaksanaan dan kearifan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Raja-Raja Melayu yang telah bersidang, dalam menangani kemelut politik negara,” ujar Fadillah yang juga MP Petra Jaya. — DayakDaily

Advertisement