GPS disarankan segera mempromosikan idea dan konsep perjuangan kepada rakyat

Datuk Peter Minos
Advertisement

KUCHING, Jun 15: Empat parti politik negeri ini yang keluar dari Barisan Nasional (BN) dan menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) disarankan supaya dengan segera mungkin mempromosikan idea dan konsep perjuangan gabungan itu kepada rakyat Sarawak.

Penganalisa politik dan juga bekas pengerusi jawatankuasa publisiti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Peter Minos berkata demikian kerana sebarang penangguhan dalam melancarkan dan mempromosikan idea dan konsep diperjuangkan GPS akan menyebabkan gabungan itu semakin berkurangan mendapat perhatian rakyat.

“Jadi lakukannya dengan pantas dan sesegera mungkin,” katanya dalam kenyataan medianya hari ini.

Advertisement

Peter juga menyarankan pemimpin GPS ketika melancarkan penubuhan rasmi gabungan itu nanti supaya serentak mengistiharkan yang mereka akan bersungguh memperjuangkan usaha mengembalikan sepenuhnya kuasa negeri ini dari Kuala Lumpur seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Selain itu pemimpin GPS juga disarankannya mengistiharkan memperjuangkan supaya secepat mungkin atau adanya tarikh tertentu bagi hak terhadap minyak dan gas Sarawak dikembalikan kepada negeri ini seperti tarikh Julai 1, 2018 yang ditetapkan sebelum ini.

“Ini akan menjadi tindakan dan cara yang baik bagi memperkenalkan GPS kepada anak Sarawak. Isu penting lain seperti menyelesaikan masalah tanah hak adat (NCR), memberikan kemudahan asas dan bantuan kepada rakyat miskin di luar bandar, mewujudkan peluang perkerjaan dan menambah pendapatan, mewujudkan perniagaan, mengembalikan Bahasa Inggeris dan menambahbaik pendidikan dan sebagainya mesti menyusul kemudian,” katanya.

Peter yakin GPA akan bermula dengan baik dan memberikan impak dengan menjadikan semua perkara ini sebagai perkara diperjuangankannya. — DayakDaily

Advertisement