Panglima 1 Divisyen mengadakan lawatan ke kawasan Operasi Awas Keris Parang

Toh (kiri) bersalaman dengan anggota tentera yang bertugas.

KUCHING, Jun 15: Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Toh Choon Siang hari ini telah mengadakan lawatan ke kawasan Operasi Awas Keris Parang dan beramah mesra serta menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada pegawai dan anggota tentera yang bertugas pada hari berkenaan.

Lawatan ini juga merupakan lawatan pertama oleh Panglima 1 Divisyen ke KTJ 3 Brigade semenjak mengambil alih jawatan Panglima 1 Divisyen pada Mei lalu.

Acara lawatan tersebut dimulakan dengan lawatan ke Pos Kotis Entikong Indonesia.

Ketibaan Panglima 1 Divisyen telah disambut oleh Brigadier Jeneral TNI Bambang Ismawan, Dankolakopsrem 121/ABW dan Brigadier Jeneral Mohd Bustaman Mat Zin, Panglima 3 Bgd serta pegawai dan anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Anggota Tentera Nasional Indonesia Angkatan Darat (TNI-AD) di pos tersebut.

Op Keris Parang melibatkan gabungan diantara TDM dan TNI-AD yang bekerjasama dalam melaksanakan operasi menjaga keselamatan perbatasan Sarawak dan Kalimantan Barat (KALBAR).

Selain itu, Panglima 1 Divisyen juga turut membuat lawatan dan beramah mesra bersama pegawai dan anggota di beberapa Pos Operasi Awas Keris Parang di sekitar KTJ 3 Brigade.

Turut bersama sepanjang lawatan ini, Lt Kol Mislani, Pegawai Memerintah 13 RAMD, Lt Kol Saifullizam Peg Staf 1 Gerak MK 1 Divisyen, Lt Kol Dody Dharmawan, Indonesia Laison Officer(ILO) serta pegawai-pegawai 1 Divisyen dan 3 Brigade.