GKCDA peruntuk RM2 juta bina pusat komuniti di Kampung Tasik Biru

Henry merasmikan Dapur dan Tandas Dewan Kampung Tasik Biru. Foto: UKAS
Advertisement

KUCHING, 8 Julai: Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) memperuntukkan dana berjumlah RM2 juta bagi membina sebuah Pusat Komuniti di Kampung Tasik Biru, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) Dato Henry Harry Jinep.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Henry berkata, ia adalah usaha bagi menaiktaraf dan mengekalkan kewujudan kampung tradisi Bidayuh itu yang berada di pinggir pekan Bau.

“Pembinaan pusat komuniti yang akan bersambungan dengan dewan serbaguna sedia adalah berkonsepkan sebuah rumah panjang dengan lapan pintu, pusat kristian, sebuah baruk dan juga tanju yang menghadap ke arah Tasik Biru,” ujar Henry.

Advertisement

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Dapur dan Tandas Dewan Kampung Tasik Biru pada Ahad.

Adun Tasik Biru itu menambah, fasa pertama pembinaan pusat komuniti berkenaan dengan Majlis Daerah Bau sebagai agensi pelaksana kini dalam proses melantik Jururunding Arkitek yang akan menyediakan rekaan bangunan.

Pada majlis sama, beliau meluluskan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM5,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tasik Biru. — DayakDaily

Advertisement