Geran Graduan ke Arah Keusahawanan manfaat 344 graduan dengan nilai RM3.16 juta – Awang Tengah

Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 2 Julai: Seramai 344 graduan mendapat manfaat geran Graduan ke Arah Keusahawanan (GERAK) setakat Julai ini.

Menurut Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, ia melibatkan peruntukan kerajaan sebanyak RM3.16 juta.


“Geran ini adalah untuk para graduan yang berminat melibatkan diri dalam bidang perniagaan.

“Manakala, dalam RMKe-12, sejumlah RM10 juta telah diluluskan untuk tujuan yang sama,” katanya di Majlis Perasmian Minggu Perusahaan Mikro, Kecil Dan Sederhana di Lawas hari ini.

Selain itu tambah Awang Tengah, bantuan Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV) juga merupakan geran untuk para lepasan sekolah vokasional dan teknikal.

Setakat ini katanya, 513 usahawan telah mendapat manfaat dengan nilai RM4.64 juta.

“Go Digital pula merupakan bantuan geran bagi usahawan yang ingin terlibat dalam perniagaan secara online atau e-commerce.

“Setakat ini, 100 usahawan telah mendapat bantuan dengan nilai RM1 juta.

“Dan di bawah RMKe-12, sejumlah RM20 juta telah pun diluluskan untuk pelaksanaan program ini,” ujar beliau.

Awang Tengah juga memaklumkan bahawa setakat ini, seramai 3,345 usahawan telah menerima manfaat subsidi kadar faedah bernilai RM77 juta.

“Melalui BKSS 2.0 Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan sebanyak RM80.7 juta untuk bantuan subsidi kadar faedah selama 3 tahun setengah.

Ini adalah kepada PKS yang berjaya melalui skim Special Relief Fund (SRF), Targeted Relief and Recovery Fund (TRRF) dan PENJANA Tourism Facility (PTF).

“Kerajaan Sarawak adalah satu-satunya kerajaan di Malaysia yang menawarkan subsidi kadar faedah ini,” ujar beliau.

Berhubung Minggu PMKS 2022, ia akan mempromosikan produk dan perkhidmatan serta membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada usahawan Sarawak.

Sesi padanan perniagaan tahun ini menyasarkan 50 syarikat PKS di seluruh Sarawak dengan vendor mahupun syarikat ‘anchor’.

Antaranya ialah Mydin Mall, AEON Mall, RFM Global Corporation Sdn Bhd (Miri), Borneo Outlet Store (Miri), Choice Supermarket, Comerich Sdn Bhd dan Marq8t Store Kuching bagi produk kraftangan, makanan serta produk tempatan yang berpotensi, unik dan berkualiti.

“Saya berharap agar PMKS di Sarawak, khasnya di Lawas akan mengambil peluang ini untuk terus memajukan lagi perniagaan dan produk mereka supaya dapat menembusi pasaran luar,” kata Awang Tengah. — DayakDaily