Geng samun sang sarang burung walit ‘tersungkur’

Kelihatan sarang burung walit yang dirampas.
Advertisement

SIBU, April 10: Satu kumpulan penjenayah yang dikehendaki polis selepas aktif menyamun rumah burung walit di Sibu, Mukah, Tatau, Matu, Daro, Sarikei, Saratok dan Betong sejak tahun lalu berjaya diberkas dalam lima serbuan berasingan di sekitar bandar ini awal hari ini.

Kumpulan yang dianggotai sembilan geng samun serta seorang pembeli sarang burung walit itu dicekup sekitar pukul 2.30 pagi hingga 9 pagi, hari sama.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, kesemua suspek yang ditahan itu berusia antara 21 hingga 52 tahun.

Advertisement

Jelas beliau, semasa serbuan dilakukan, polis turut merampas senapang patah, parang, taji ayam, tombak dan peluru senapang patah.

“Polis turut merampas peralatan pecah rumah seperti ‘grinder’ dan ‘drill’, 20 unit telefon bimbit serta kira-kira satu kilogram sarang burung yang telah diproses,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, Dev memberitahu, modus operandi anggota kumpulan tersebut ialah dengan bersenjatakan senapang patah dan parang akan memecah masuk ke dalam rumah-rumah burung walit di Sibu, Mukah, Tatau, Matu, Daro, Sarikei, Saratok dan Betong.

Katanya, suspek-suspek kemudian akan mencederakan dan mengikat pekerja rumah burung dan mengambil sarang burung.

“Nilai sarang burung yang telah disamun oleh kumpulan ini mencecah RM1 juta,” katanya lagi. — DayakDaily

Advertisement