Generasi ‘Y’ harus hayati erti kemerdekaan, kata Simoi

Simoi (berdiri lima dari kanan) merakamkan gambar kenangan bersama ahli-ahli PPWS Sri Aman.

SRI AMAN, Sept 12: Generasi ‘Y’ atau generasi muda diingatkan supaya menghayati erti semangat kemerdekaan iaitu mencintai dan berkorban untuk negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Simoi Peri berkata, generasi muda hari ini harus mengembalikan semangat dan erti kemerdekaan dengan menunjukkan rasa cinta, sayang, patriotik, berbakti dan berjasa pada negara.

Menurutnya, kemerdekaan bukan sahaja bermakna pentadbiran negara bebas dari jajahan orang asing, namun setiap individu perlu bebas dari apa sahaja bentuk pemikiran yang negatif.


“Tiada maknanya erti kemerdekaan jika rak­yat tidak bebas dan mampu me­rancang agenda pembangunan terbaik sekiranya dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

“Justeru, usaha menyemai dan memupuk semangat cintakan negara perlu dalam usaha membangkitkan semangat patriotik di kalangan generasi ‘Y’,” katanya dalam Program Semarak Merdeka anjuran Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Sri Aman di sini.

Simoi menambah, tidak dinafikan laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram juga boleh menjadi satu wadah untuk menyebarkan semangat patriotik.

Katanya, media sosial boleh menjadi satu platform perkongsian fakta sejarah negara kerana mungkin ada yang tidak tahu kisah-kisah sejarah ataupun ada yang tidak ambil peduli selama ini.

“Generasi ‘Y’ harus mengetahui sejarah para perjuang kemerdekaan negara terdahulu yang tidak pernah tunduk kepada penjajah dalam membela bangsa dan negara.

“Sehubungan itu, semangat seumpamanya perlu diterjemahkan pada hari ini dengan disesuaikan mengikut situasi dan keadaan semasa,” ujarnya lagi.

Dalam majlis sama, Simoi turut mengumumkan peruntukan geran 2019 sebanyak RM3,000 sebagai membantu PPWS Sri Aman bagi menjalankan aktiviti persatuan mereka. — DayakDaily