Generasi muda perlu pertahankan sambutan Hari Gawai Dayak

Penguang (berdiri enam dari kiri) merakamkan gambar bersama penduduk rumah panjang.
Advertisement

MARUDI, Jun 5: Sambutan Hari Gawai Dayak yang penuh dengan adat dan budaya mungkin akan hilang identitinya jika tiada usaha untuk memeliharanya.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datu Dr Penguang Manggil berkata, pemikiran generasi muda yang semakin terbuka antara faktor yang menyebabkan adat dan budaya sambutan itu dipandang sepi.

Sehubungan itu katanya, generasi muda hari ini mesti mempertahankan adat resam tersebut untuk diwarisi oleh generasi seterusnya.

Advertisement

“Saya mengakui bahawa sambutan Hari Gawai Dayak pada zaman dahulu dan sekarang agak berbeza meskipun kemeriahannya tetap sama.

“Pada zaman dahulu, Hari Gawai Dayak disambut dengan pelbagai upacara dan adat terutamanya dalam kalangan warga emas. Hari ini, meskipun sambutan Hari Gawai meriah tetapi penekanan terhadap budaya dan adatnya semakin berkurangan kerana tidak ramai generasi muda yang tahu tentang budaya masyarakat itu sendiri,” katanya semasa sambutan Gawai Dayak di Rumah Panjang Sungai Entulang di sini semalam.

Penguang menambah, boleh dikatakan pemahaman generasi muda mengenai Hari Gawai Dayak semakin menurun dan ia disambut semata-mata sekadar satu perayaan.

Jelasnya, masyarakat setempat perlu sentiasa mengadakan perbincangan untuk mencari pendekatan baharu bagi mempertahankan adat resam dan budaya sambutan Hari Gawai Dayak.

“Generasi hari ini perlu mempertahankan adat resam sambutan Hari Gawai Dayak dengan mencari jalan agar ia dapat diwarisi oleh generasi seterusnya,” ujarnya. — DayakDaily

Advertisement