Gempar mayat lelaki terdampar di tebing sungai

Anggota polis dan bomba mengangkat mayat mangsa.
Advertisement

KANOWIT, Sept 3: Penduduk yang menetap di sekitar Nanga Mam, Sungai Rajang di sini gempar dengan penemuan mayat seorang lelaki yang terdampar di sungai berkenaan hari ini.

Orang awam yang menemui mayat tersebut kemudian menghubungi pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Difahamkan, mangsa dikenalpasti sebagai Peter Ngau Jau, 54.

Advertisement

Jurucakap polis berkata, pihaknya kemudian menghubungi pasukan bomba untuk mendapatkan bantuan mengangkat mayat mangsa itu.

Katanya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi mengangkat mayat lelaki berkenaan.

“Apabila tiba, pasukan bomba dan polis mendapati mayat seorang lelaki terapung di tebing sungai tersebut.

“Pasukan bomba kemudian mengangkat mayat lelaki berkenaan dengan menggunakan alat pengangkat,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama memberitahu, pasukan bomba kemudian menyerahkan mayat mangsa kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, operasi itu tamat pada pukul 10.11 pagi selepas mayat mangsa dihantar ke hospital untuk tindakan selanjutnya.

“Buat masa ini, kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya lagi. — DayakDaily

Advertisement