Oleh Dean Adam
SARIKEI, Dis 6: Penduduk di sekitar bandar ini gempar dengan penemuan mayat seorang lelaki dalam keadaan reput di sebuah rumah yang tidak berpenghuni di sini.
Mayat yang reput itu ditemui orang awam kira-kira pukul 5.30 petang susulan terhidu bau busuk dari arah sebuah rumah usang berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sarikei, Dsp Zamry Alli mengesahkan penemuan mayat lelaki tanpa identiti berkenaan.
Katanya, siasatan awal di lokasi kejadian tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri mangsa.
“Semasa ditemui, mangsa masih lengkap berpakaian, namun mayat sudah dalam keadaan mereput dan berbau.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sarikei untuk tindakan selanjutnya,” katanya hari ini.
Zamri menambah, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan diminta tampil ke balai polis untuk membantu siasatan.
Jelasnya, setakat ini pihaknya tiada menerima laporan berhubung kehilangan mana-mana individu.
“Buat masa ini, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. — DayakDaily