Gempar mayat lelaki ditemui terapung

Anggota bomba berusaha mengangkat mayat seorang lelaki.
Advertisement

Oleh Dean Adam

KUCHING, Okt 21: Orang awam yang sedang melalui tebingan Pengkalan Jalan Ang Cheng Ho di sini gempar dengan penemuan mayat seorang lelaki yang terapung di sungai berhampiran awal pagi tadi.

Terkejut dengan penemuan mayat lelaki berkenaan, orang awam kemudian menghubungi pihak bomba untuk tindakan selanjutnya.

Advertisement

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan, Awang Jepri Awang Joni berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan mayat berkenaan pada pukul 1.10 pagi.

Jelasnya, sejurus menerima maklumat itu, 12 anggota bomba bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan kerja-kerja mengangkat mayat mangsa.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati mayat lelaki berkenaan masih dalam keadaan terapung.

“Pasukan bomba kemudian bertindak mengangkat mayat mangsa dan membawa ke jeti pengkalan tersebut,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Awang Jepri memberitahu, pemeriksaan lanjut tidak menemui sebarang identiti pengenalan diri mangsa.

Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi berkenaan tamat sepenuhnya pada pukul 2 pagi sebaik mayat mangsa dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan mayat lelaki.

“Buat masa ini, kita masih dalam proses mengenal pasti identiti mangsa,” ujarnya. — DayakDaily

Advertisement