Gelanggang futsal Kampung Bintawa Hilir siap dibina

Dr Abdul Rahman menyepak bola sebagai simbol perasmian kejohanan futsal.

Oleh Dean Adam

KUCHING, April 20: Gelanggang futsal Kampung Bintawa Hilir yang dibina dengan kos sebanyak RM250,000 telah dirasmikan oleh Menteri Muda Utiliti, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi di sini hari ini.

Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai berkata, fasiliti sukan tersebut telah dibina menerusi geran Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP).


“Saya optimis pembukaan gelanggang futsal ini boleh menjadi platform melahirkan ramai para pemain tempatan yang berkaliber,” katanya semasa merasmikan Gelanggang Futsal Kampung Bintawa Hilir tersebut.

Dr Abdul Rahman (belakang, empat kiri) merakamkan gambar bersama pemain futsal.

Dalam pada itu, Dr Abdul Rahman memberitahu, jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) dan badan bukan kerajaan (NGO) digalakkan untuk menganjurkan pertandingan futsal di peringkat kampung.

Jelasnya, penganjuran aktiviti sukan setempat secara tidak langsung mengalakkan golongan muda menyertai aktiviti yang sihat.

“Menerusi aktiviti sukan, kita dapat mengisi masa lapang dengan berfaedah selain mengelak daripada terjebak dengan aktiviti negatif,” katanya. ā€” DayakDaily