Gara-gara panik, lelaki rugi RM900 ditipu ‘Macau scam’

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

KUCHING, Dis 8: Gara-gara panik selepas menerima panggilan kononnya dari pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), seorang lelaki kerugian RM900 akibat terpedaya dengan sindiket penipuan ‘Macau scam’

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah, berkata kejadian melibatkan lelaki berusia 24 tahun itu dilaporkan berlaku semalam.


Jelas beliau, laporan diterima mendapati mangsa telah menerima panggilan daripada seorang lelaki kononnya pegawai SPRM menggunakan talian 015-9704053.

“Suspek kemudian memberitahu mangsa telah terlibat dalam kegiatan haram melalui transaksi dalam talian.

“Sekiranya mangsa tidak membayar wang jaminan kepada suspek, waran tangkap ke atas mangsa akan dikeluarkan,” katanya di sini hari ini.

Mustafa menambah, mangsa yang panik kemudian bersetuju mengikut arahan suspek.

“Mangsa kemudian memberikan maklumat yang diminta oleh suspek kononnya untuk membantu mangsa menyelesaikan kes itu.

“Tidak lama kemudian, mangsa menerima pesanan yang memaklumkan telah memindahkan wang sebanyak RM900 ke akaun Bank Muamalat atasa nama Norhaiza sebanyak RM900,” ujarnya.

Sambil menambah, mangsa kemudian membuat laporan polis selepas menyedari bahawa dirinya telah ditipu. — DayakDaily