MIRI, Sept 5: Gara-gara membuat laporan polis palsu, seorang lelaki didenda RM1,000 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Perintah hukuman itu dijatuhkan oleh Majistret Ali Musa selepas tertuduh, Ting Aik Hou mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan polis palsu pada Julai lepas.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah membuat laporan palsu tentang kehilangan sebuah kenderaan pacuan empat roda milik sebuah syarikat swasta pada Julai 4 lalu.
Bagaimanapun, siasatan mendapati kenderaan tersebut tidak hilang seperti yang didakwa tertuduh.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan pada pukul 8.18 malam di Balai Polis Pusat Miri.
Pendakwaan kes ini dilakukan oleh Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor, manakala tertuduh tidak diwakili oleh peguam. ā DayakDaily