RM20 juta peruntukan tambahan diperlukan bagi projek Jambatan Kampung Selampit

Inilah Sungai Kampung Selampit yang perlu dibina jambatan untuk kemudahan penduduk kampung.

LUNDU, Sept 5: Dianggarkan sebanyak RM20 juta diperlukan lagi bagi membina Jambatan Kampung Selampit dekat sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Datuk Ranum Mina berkata, sebelum ini kerajaan Persekutuan yang dipimpin Barisan Nasional (BN) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi pembinaan jambatan sepanjang 100 meter itu.

Jelasnya, peruntukan tambahan itu diperlukan memandangkan kajian yang dilakukan sebelum ini memaklumkan dana sebanyak RM10 juta tersebut adalah tidak mencukupi.


“Bagaimanapun, saya telah membawa perkara ini kepada Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan, Tan Sri Dr James Jemut Masing.

“Hasilnya, beliau (Masing) akan membuat permohonan peruntukan tambahan dari kerajaan negeri untuk memastikan projek pembinaan jambatan ini dapat direalisasikan kelak,” katanya semalam.

Ranum menambah, sekiranya permohonan peruntukan tambahan itu diluluskan kerajaan negeri nanti, projek jambatan kampung berkenaan akan dilaksanakan.

Ranum Mina

Sehubungan itu, beliau berharap penduduk kampung bersabar dan terus memberi kerjasama kepada kerajaan agar projek berkenaan dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Saya sedar penduduk kampung selama ini terpaksa menggunakan perahu tambang untuk menyeberangi sungai berkenaan.

“Mereka (penduduk kampung) juga terpaksa berdepan risiko kehadiran buaya yang kadang-kadang muncul di permukaan sungai kampung tersebut,” katanya.

Sementara itu, beliau memberi jaminan akan menyalurkan dana berjumlah RM80,000 bagi kerja-kerja naik taraf Gereja St Gregory Kampung Selampit pada tahun hadapan. — DayakDaily