MIRI, 29 Julai: Seorang penjawat awam mengalami kerugian RM31,100 gara-gara ingin membeli dron berharga RM550.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak Supt Maria Rasid berkata lelaki berusia 20an itu mulanya tertarik dengan iklan jualan dron jenis DJI Mini 2 yang ditawarkan dengan harga RM550 di Instagram pada 26 Julai.
Mangsa kemudian berurusan dengan pemilik akaun Instagram itu sehingga dia kemudian diarahkan membayar keseluruhan RM31,100 untuk bayaran wang jaminan dan pelepasan Kastam serta harga dron tersebut.
“Dia juga dijanjikan wang tersebut akan dipulangkan selepas itu.
“Mangsa kemudian membuat bayaran ke lima akaun bank bank milik individu berlainan melalui 10 transaksi pada 26 dan 27 Julai dan dia hanya menyedari dirinya ditipu apabila penjual dron itu tidak lagi dapat dihubungi selepas itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Laporan polis telah dibuat oleh mangsa pada 28 Julai dan siasatan lanjut kes masih dijalankan. ā DayakDaily