Gara-gara cemburu, suami cekik dan tendang isteri ditahan polis

Suspek (dua dari kanan) ditahan anggota JSJ IPD Miri untuk siasatan lanjut berhubung kejadian.

Oleh Brad Rantayy
MIRI, 26 September : Seorang kerani wanita cedera selepas dicekik dan ditendang oleh suaminya akibat cemburu dalam satu kejadian di sebuah rumah di Kampung Lusut Jaya 1 Lambir pada malam Sabtu (25 September).

Dalam kejadian itu, suspek berusia 31 tahun itu dipercayai memukul isterinya menggunakan tangan dan kaki kerana mendakwa mangsa menjalinkan hubungan dengan lelaki lain. Difahamkan, suspek tidak bekerja.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Jawari mengesahkan ada menerima laporan kejadian berlaku sekitar jam 9.30 malam di kediaman pasangan terbabit di Kampung Lusut Jaya 1.


Dalam kejadian tersebut, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian rusuk kanan.

Susulan daripada laporan mangsa, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri telah menangkap suspek di kediamannya di Kampung Lusut Jaya 1, dua jam kemudian pada malam yang sama untuk membantua siasatan.

Kes disiasat mengikut Seskyen 323 dan Seksyen 18 A Kanun Keseksaan. — DayakDaily