KUCHING, 2 Okt: Jika tidak benar keberkesanan kegunaannya, masakan gambir Sarawak kekal mendapat permintaan tinggi sehingga kini.
Itulah pendapat Sapawi Jawa, 50, yang menjadikan pekerjaan menjual produk gambir sebagai sumber pendapatan sejak 20 tahun yang lalu.
Berniaga di Carpenter Street, beliau berkata, produk gambir Sarawak boleh digunakan untuk meredakan sakit gigi termasuk gigitan lipan, kala jengking, alergi kulit serta sengatan tabuan.
Yang paling laris katanya ialah untuk kegunaan hubungan kelamin.
“Ya, sehingga sekarang pengunjung khususnya dari Semenanjung Malaysia akan membeli produk gambir dengan kuantiti yang banyak.
“Ini adalah bukti keberkesanan kegunaan gambir, kalau tidak masakan ia kekal mendapat permintaan ramai sehingga sekarang,” jelas Sapawi yang berasal dari Petra Jaya.
Selain itu katanya, baru-baru ini beliau mendapat tempahan untuk membekal gambir ke salah sebuah syarikat di Semenanjung Malaysia.
Ia melibatkan 300 gram gambir dengan harga RM3, 000 bagi tujuan penyelidikan.
Menurut Sapawi, gambir Sarawak kini sudah digunakan bagi tujuan perubatan serta kecantikan.
“Sebelum wabak Covid-19 melanda dahulu, saya pernah menerima tempahan untuk membekal hampir 3 kilogram gambir dengan harga RM2, 500 ke Semenanjung Malaysia.
“Ia adalah untuk kegunaan sebuah syarikat yang memproses gambir ini bagi tujuan perubatan,” ujar Sapawi.
Setelah berakhirnya wabak tambah beliau, permintaan terhadap gambir kian meningkat seperti sedia kala.
“Pendapatan dari hasil menjual gambir adalah rezeki saya selama lebih 20 tahun.
“Saya rasa selesa dengan pekerjaan ini, dan tidak terlintas dalam fikir untuk mencari pekerjaan lain,” katanya.
Produk gambir Sarawak milik Sapawi dijual dalam lingkungan harga RM10 hingga RM35. — DayakDaily