Gadis remaja antara tiga suspek rompakan bersiri yang ditahan

Ketiga-tiga suspek yang ditahan oleh polis.

KUCHING: Tiga individu termasuk seorang gadis remaja yang terlibat dalam empat siri rompakan serta curi kenderaan baru-baru ini berjaya diberkas polis malam tadi.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri SAC Datuk Dev Kumar, ketiga-tiga suspek melakukan empat rompakan dalam tempoh dua hari sejak Sept 4 lalu di Kuching, Padawan dan Kota Samarahan.

Sehubungan itu, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching berjaya menangkap ketiga-tiga suspek di sebuah bilik inap desa di Kota Sentosa sekitar jam 8.30 malam tadi.


Ketiga-tiga suspek merupakan warga tempatan dan berusia 19, 24 serta 26 tahun.

Siasatan lanjut oleh pihak polis berjaya merampas sebuah kereta Proton Saga yang dicuri, sebilah samurai, sebatang kayu, dua pasang sarung tangan serta sejumlah wang tunai.

Bukit yang dirampas dari suspek.

Difahamkan kes pertama iaitu pada Sept 4 berlaku sekitar jam 3 pagi, di mana mereka merompak sebuah kedai runcit di Kota Sentosa dan melarikan wang tunai RM600.

Pada hari berikutnya, kumpulan ini melakukan tiga rompakan di mana yang pertama sekitar jam 4 pagi di sebuah kedai runcit 24 jam di Kota Samarahan serta sebuah lagi kedai runcit di Stutong sejam kemudian dan melarikan sekurang-kurangnya RM2,335 bersama rokok.

Kereta yang dipercayai digunakan dalam rompakan.

Kumpulan tersebut juga turut merompak wang tunai RM16 serta telefon bimbit milik seorang penungang motosikal yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Kuching-Samarahan Expressway pada hari yang sama sekitar jam 12.30 tengah hari.

Ketiga-tiga mereka juga didapati positif dadah jenis syabu.

Kes berkenaan kini disiasat di bawah seksyen 395/ 397 kanun keseksaan.