This Content Is Only For Subscribers
Oleh Chris Bishop
KUCHING, 18 Jun: Gabungan Orang Asal Sarawak Sabah yang memenangi tempat pertama di ‘Niti Daun’ Gawai Dayak 2023 semalam dijangka membawa kontinjen ke New Zealand.
Ketuanya Peter John Jaban berkata, hadiah kemenangan RM10,000 bagi kategori kementerian/jabatan/badan berkanun/swasta/syarikat berkaitan kerajaan (GLC)/jemputan boleh membawa mereka ke negara tersebut.
“Pada tahun hadapan, dengan hadiah kemenangan ini kami mungkin boleh ke New Zealand untuk mempamerkan budaya kita,” katanya ketika ditemui selesai perarakan di Tebingan Kuching semalam.
Tambah Peter, Gabungan Orang Asal Sarawak Sabah merupakan kontinjen terbesar di Niti Daun 2023 dengan seramai 142 orang yang berpakaian ngepan Dayak.
Katanya, kontinjen mereka meliputi golongan selebriti, ikon sukan serta jaguh bina badan negara Buda Ancah.
“Kontinjen kita adalah yang paling besar, yang menghimpunkan orang asal dari seluruh pelusuk negeri.
“Bila kita ramai dan bersatu, kita semakin kuat,” ujar Peter.
Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa Gabungan Orang Asal Sarawak Sabah akan sekali lagi menaiki kapal terbang dengan berkaki ayam, bersirat dan memakai pakaian ngepan.
“Destinasi kita kali ini adalah ke Jakarta (dari Kuching) dan Samarinda untuk menyertai Borneo Pesona Festival,” ujar Peter.
Perarakan Niti Daun 2023 sekitar 1.2 kilometer itu disertai lebih 3,000 peserta melibatkan lebih 90 kontinjen.
Lebih meriah, perarakan yang bermula di Bangunan Tun Jugah dan berakhir di Jambatan Darul Hana itu diketuai oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg diiringi Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan tetamu kehormat lain. — DayakDaily