KUCHING, Jan 19: Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Batu Kawa di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.40 malam itu, mangsa, Kelvin Jason Jayis, 23, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah pada anggota badannya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang datang dari arah Bau ke Batu Kawa hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Perodua Myvi yang dipandu mangsa.
Menurut beliau, impak pelanggaran kuat itu mengakibatkan kedua-dua kenderaan tersebut remuk teruk.
“Mangsa yang tersepit dan mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Manakala, pemandu Ford Ranger yang berusia 38 tahun dan turut cedera parah kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk mendapatkan rawatan kecemasan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, Alexson memberitahu, mayat mangsa sudah dibawa ke hospital sama untuk dibedah siasat.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily