Flat KMC akan dibangun dengan konsep pembaharuan bandar — Dr Sim

Dr Sim (dua kiri) menyalakan lampu sebagai simbolik perasmian majlis Sambutan Deepavali MBKS. Turut kelihatan (dari kanan) Shankar, Penguang dan Wee.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 6 Nov: Persekitaran flat KMC di Padungan akan dibangunkan menerusi konsep pembaharuan bandar, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Menurut beliau, kawasan Padungan berpotensi menjadi daerah ekonomi baharu di Bandar Kuching.

“Konsep ini akan memberi peluang kepada penduduk untuk mewujudkan kerjasama dan perkongsian selain menikmati kehidupan yang lebih baik.

“Kerajaan negeri melalui MBKS akan membangunkan kawasan persekitaran flat KMC dan perkara yang berkaitan dengan warisan diberi pertimbangan,” katanya pada majlis Sambutan Deepavali 2019 di Ruang Legar, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di sini, hari ini.

Di samping itu, Dr Sim juga berkata kerajaan sedang melaksanakan projek-projek untuk menjadikan Bandaraya Kuching sebagai sebuah bandaraya pintar.

Untuk mencapai tujuan itu tegas beliau, persimpangan lampu isyarat di kawasan bandar akan diganti dengan lampu isyarat pintar untuk melancarkan pergerakan trafik.

“Kita fokus ke arap konsep pembaharuan bandar dan bandar pintar memerlukan kemudahan pintar,” katanya.

Persekitaran flat KMC memiliki 22 blok bangunan dengan 531 unit rumah dan setiap satu bangunan dinamakan mengikut bandar-bandar di Sarawak.

Turut hadir Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datu Dr Penguang Manggil, Datuk Bandar MBKS Datuk Wee Hong Seng dan Shankar Ram Pohummal Asnani. — DayakDaily