Fitnah melampau, ahli Bersatu buat laporan polis terhadap menteri

Azman (berdiri tengah) menunjukan salinan laporan polis.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 5 Oktober: Ahli seumur hidup Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak, Datuk Seri Azman Samaon, telah membuat laporan polis berhubung fitnah dari seorang menteri persekutuan yang menuduh beliau melakukan perbuatan jenayah berat.

Menurut beliau, fitnah yang mengaibkan beliau itu tersebar di media sosial melalui aplikasi WhatsApp pada pertengahan September lepas dan laporan polis telah dibuat di Balai Polis Gita pukul 10.30 pagi semalam.

“Pada 18 September, 2019, saya telah menerima satu pesanan melalui aplikasi WhatsApp rakan saya berkenaan satu status yang dihantar oleh seorang pengguna WhatsApp yang menyebarkan fitnah terhadap diri saya dalam group WhatsApp – Bersatu MPT Team,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Kesal dan marah dengan fitnah tersebut, Azman mahu jabatan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia melakukan siasatan terperinci.

Katanya, fitnah itu sangat ekstrim dan bertujuan menjatuhkan beliau sebagai individu sekaligus menafikan sokongan yang diberikan penyokong dalam Bersatu.

“Beliau (menteri tersebut) telah memuatnaik keratan fitnah yang menuduh saya telah melakukan jenayah berat seperti mengedar dadah di negeri Sarawak, mencetak dan mengedar wang palsu.

“Ini termasuk bersekongkol dengan PDRM untuk melindungi gerakan jenayah dan memalsukan dokumen kerajaan seperti surat kelulusan tender kerajaan bagi mendapatkan faedah kepada diri saya,” ujar Azman.

Jelas beliau, bukti mengaitkan individu tersebut, yang juga ahli Bersatu, telah diserahkan kepada polis untuk membantu siasatan.

Di samping itu, Azman berkata akan mengambil tindakan selanjutnya berhubung isu tersebut pada 31 Oktober ini.

“Dia harus letak jawatan dan dia bukan seorang pemimpin yang berwibawa. Kalau dia seorang pemimpin berwibawa, dia harus tapis dahulu sebarang kenyataan yang disebarkan pada media sosial,” ujar Azman.

Selain menjadi ahli seumur hidup Bersatu Sarawak, Azman juga menerajui 16 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Sarawak. — DayakDaily