Finas, TVS jadi rakan strategik

File photo for illustration purposes

KUCHING, 16 Okt: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bersetuju menjadikan stesen TV Sarawak (TVS) sebagai rakan strategik baharunya.

Menurut kenyataan Finas, keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat yang dipegerusikan oleh pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid di Petaling Jaya.

Katanya, menerusi persetujuan terbabit, badan itu akan membiayai penerbitan karya stesen televisyen berkenaan melalui Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri Kreatif  (Pelaksana).


Mesyuarat itu juga kata kenyataan itu turut bersetuju untuk meneruskan kejayaan program Finas Prihatin melalui pelaksanaan Finas Prihatin 2.0.

“Bagi program kedua ini, Finas mensasarkan untuk membantu atau menyantuni 50 penggiat seni kreatif di seluruh negara.

“Mesyuarat itu juga bersetuju untuk mengatur dua pertemuan dengan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) dan Pengerusi Lembaga Penapis Filem (LPF) dalam masa terdekat,“ katanya.

Katanya, pertemuan dengan Puspal dilakukan bagi mencari dan membincangkan kaedah bersesuai untuk memudahkan lagi urusan berkaitan penggambaran filem terutamanya bagi syarikat produksi yang menerima manfaat Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI).

Manakala pertemuan dengan Pengerusi LPF pula adalah untuk membincangkan garis panduan penerbitan kandungan kreatif selari dengan situasi norma baharu  pasca Covid-19. –DayakDaily