Fatimah: Taska dan tadika dalam zon merah ditutup 14 hari mulai esok

Dato Sri Fatimah Abdullah

KUCHING, 19 April: Semua tadika dan taska yang berada di zon merah Covid-19 ditutup selama 14 hari mulai esok 20 April, tegas Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah.

Katanya, ia adalah berikutan pengumuman Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini yang memutuskan semua sekolah di zon merah ditutup bagi membendung penularan wabak Covid-19.

“Menteri telah mengumumkan bahawa semua sekolah dalam zon merah di Sarawak ditutup selama 14 hari berkuatkuasa pada 20 April 2021.


“Susulan daripada pengumuman tersebut, semua tadika dan taska yang berada di dalam zon merah juga ditutup selama 14 hari berkuatkuasa 20 April 2021,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, tambah Fatimah, setakat 19 April 2021, terdapat sejumlah 2,795 buah tadika dan 234 taska yang berdaftar di negeri Sarawak.

Jelas beliau, penutupan tersebut melibatkan 2,518 buah tadika dan 213 buah taska.

Dalam pada itu katanya, jika terdapat taska yang mempunyai anak-anak petugas barisan hadapan, taska berkenaan perlu mengemukakan permohonan untuk beroperasi.

Namun, ujar beliau, ia hanya bagi memberikan perkhidmatan kepada anak-anak petugas barisan hadapan sahaja.

“Permohonan hendaklah dikemukakan ke Bahagian Pembangunan Awal Kanak-kanak, Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga Dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK).

“Ini merupakan perkhidmatan sokongan kepada petugas barisan hadapan yang bertugas dalam memerangi pandemik Covid-19,” ujar Fatimah. — DayakDaily