Fatimah: Tarikh akhir BKIT 31 Oktober, tunggal diseru memohon segera

Fatimah(tengah) pada sidang media di Kuching hari ini.

KUCHING, 9 SEPTEMBER: Ibu tunggal yang layak diseru segera memohon Bantuan Khas Ibu Tunggal (BKIT) yang menyediakan bayaran one-off RM300.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, tarikh akhir permohonan adalah pada 31 Oktober 2020.

“Setakat hari ini, kita telah menerima sebanyak 3,443 permohonan dan daripada jumlah itu 1,687 telah diluluskan manakala 1,264 permohonan gagal.

“Baki permohonan sedang dinilai serta diproses,” katanya pada sidang media di Bangunan Baitulmakmur di sini hari ini.

Menurut Fatimah lagi, setakat ini seramai 214 ibu tunggal dengan jumlah keseluruhan RM64,200 telah pun menerima BKIT yang telah dikreditkan ke dalam akaun masing-masing.

Katanya, baki permohonan yang telah diluluskan masih di dalam proses dan akan dikreditkan ke dalam akaun penerima.

“Bantuan dimulakan sebagai insentif kerajaan untuk membantu golongan ibu tunggal dalam berhadapan dengan penularan wabak Covid-19,” ujar Fatimah.

Borang BKIT boleh diperolehi daripada pejabat daerah, pejabat kebajikan masyarakat atau lama web Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak.-DayakDaily