Fatimah: SeDidik hantar penyelia dan pendidik tadika Penan ke IPTA

Fatimah pada lawatan ke salah sebuah tadika SeDidik

KUCHING, 16 Jun: SeDidik akan menghantar penyelia serta pendidik dari lima buah tadika di bawah Program Pendidikan Komuniti (PPK) Penan melanjutkan pengajian ke peringkat Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak di salah sebuah Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).

Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah, ia melibatkan tadika di Long Leng, Long Jenalong, Long Kerangan, Long Kawa dan Ba Selulong.

Kata Fatimah yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah SeDidik, kesemuanya telah siap dibina bagi akses kepada PPK untuk kawasan jauh di pedalaman.

“Ia sejajar dengan hasrat kerajaan negeri Sarawak untuk akses kepada Pendidikan Awal KanakKanak yang berkualiti di luar bandar dengan memberi guru mempunyai kelayakan dan latihan yang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berkaitan dengan pandemik Covid-19 serta perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac 2020, Fatimah berkata keadaan ini telah memberi cabaran yang hebat kepada kemenjadian serta pencapaian kanak-kanak dalam pendidikan formal mereka.


Berdasarkan laporan SeDidik jelas beliau, pandemik Covid19 ini telah memberi kesan ke atas pencapaian anak dan salah satu kekangan adalah capaian internet.

“PDPR secara atas talian dapat dijalankan dengan lebih berkesan sekiranya capaian internet di kawasan luar bandar dapat dipertingkatkan.

“Kebanyakan Institusi Pendidikan Awal Kanak-kanak terkesan dan ditutup sementara operasi.

“Pendidik bukan sahaja di SeDidik, malah di seluruh Institusi Pendidikan Awal Kanak-kanak di Sarawak perlu sama-sama memikirkan bagaimana kita hendak memastikan pencapaian kanak-kanak ini turut sama cemerlang sepertimana mereka menghadiri kelas seperti biasa, iaitu secara fizikal,” ujar Fatimah.

Tambah beliau, SeDidik telah diminta untuk menyediakan “catch-up plan” untuk pendidikan, pada masa yang sama kanak-kanak bersedia untuk mengikuti pendidikan formal di sekolah rendah.

Dalam pada itu, Fatimah memaklumkan bahawa SeDidik Sdn Bhd turut tidak ketinggalan dalam menyumbang kepada Tabung Bencana Sarawak bagi menangani Covid-19.

Ujar beliau, sumbangan 5 peratus (dua bulan) daripada Imbuhan Tetap Keraian (ITK) yang melibatkan 123 kakitangan yang layak menunjukkan keprihatinan serta semangat saling bantu membantu dari kakitangan SeDidik terhadap usaha kerajaan negeri dalam menangani Covid-19. — DayakDaily