Fatimah: Sarawak di kedudukan kelima tertinggi kes rogol

Kelihatan Fatimah (tengah) pada sidang media di Kuching hari ini (3 Ogos 2021).

KUCHING, 3 Ogos: Sarawak di kedudukan kelima tertinggi di Malaysia bagi kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak (rogol), kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah.

Bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini katanya, Sarawak mencatatkan sejumlah 67 kes iaitu peningkatan sebanyak 13.6 peratus berbanding hanya 59 kes direkodkan pada tahun lalu.

“Daripada jumlah tersebut, 50 kes melibatkan mereka yang berumur antara 13 hingga 16 tahun, enam kes (0 hingga 12 tahun), lima kes (17 hingga 18 tahun), lima kes (19 hingga 25 tahun) dan satu kes (26 tahun ke atas).

“Seramai 41 kanak-kanak dilaporkan mengandung dengan 62 peratus melibatkan mangsa perempuan di bawah umur 16 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak ACP Lucas Atek di pejabatnya di Bangunan Baitul Makmur, di sini, hari ini.

Tambah Fatimah, kebanyakan kes rogol yang berlaku itu berpunca daripada kenalan teman lelaki dengan 15 kes, bapa kandung (5 kes) dan lain-lain lagi.

Keseluruhannya bagi kes rogol di Malaysia menyaksikan Selangor pada kedudukan pertama dengan 168 kes diikuti Kedah (80 kes), Sabah (72 kes) dan Johor (69 kes). — DayakDaily