Fatimah: Fungsi kementerian disepadankan dengan manifesto PRN12

Fatimah (tengah) menyaksikan Francis (kiri) yang kini dilantik sebagai Menteri Muda Pembangunan Bakat menyerahkan tugas kepada Mohammad Razi sebagai Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti yang baharu.

KUCHING, 14 Feb: Tujuan sesebuah kementerian adalah untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat berdasarkan fungsi kementerian yang disepadankan dengan manifesto kepada rakyat ketika musim Pilihanraya Negeri ke-12 (PRN12) yang lepas.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, rekod kemenangan 76 daripada 82 kerusi menunjukkan rakyat menaruh harapan dan mempunyai keyakinan terhadap kerajaan Negeri Sarawak dibawah Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Rakyat yakin GPS boleh membawa perubahan ke arah yang lebih baik dan maju selaras dengan wawasan Sarawak Negeri Maju Berpendapatan Tinggi Menjelang Tahun 2030,” katanya.


Beliau berkata demikian pada ucapan di Majlis Serah Tugas Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti yang diadakan di Bangunan Baitulmakmur di sini hari ini.

Pada majlis itu Datuk Francis Harden yang kini dilantik sebagai Menteri Muda Pembangunan Bakat telah menyerahkan tugas kepada Mohammad Razi Sitam sebagai Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti yang baharu.

Untuk merealisasikan harapan rakyat, tambah Fatimah, penyusunan semula peneraju kementerian perlu untuk memantapkan jentera kerajaan memberi perkhidmatan yang cemerlang tanpa ada kelompok komuniti yang ditinggalkan.

Sebagai Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, ujar Fatimah, skop bidang tugas dan tanggungjawab adalah luas dan berbentuk dinamik.

“Secara spesifiknya adalah mengenai kesejahteraan rakyat di negeri Sarawak namun apa yang berlaku adalah kita banyak terlibat dengan pelbagai perkara dalam urusan kementerian dan tidak hanya tertumpu kepada portfolio semata-mata.

“Kesejahteraan komuniti amat luas dan tidak dapat ditafsirkan secara dalam ruang lingkup yang terhad kerana apa sahaja yang berkaitan dengan kehidupan masyarakat mempunyai kaitan secara langsung dengan kesejahteraan.

“Kesejahteraan pula kita inginkan sebuah masyarakat yang hidup dalam keadaan yang harmoni, makmur dan mendapat perhatian daripada kerajaan dalam memastikan kehendak masyarakat dipenuhi seiring dengan keperluan semasa,” ujar Fatimah.

Beliau memohon agar semua warga kementerian meneruskan kecemerlangan dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Mohammad Razi sebagai penyambung legasi kecemerlangan dalam kementerian. — DayakDaily