Oleh Chris Bishop
KUCHING, Julai 23: Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Sri Fatimah Abdullah berharap dua tentera Sarawak yang hilang di Pulau Perak, Kedah berjaya dijumpai.
Pada masa sekarang, katanya, usaha sedang giat dijalankan untuk mengesan mereka dan berharap kedua-dua tentera tersebut selamat.
“Pagi tadi saya difahamkan ada dua askar kita hilang dan setakat ini belum ada berita samada sudah dijumpai ataupun belum.
“Sudah tentu kita gelisah mendengar berita ini dan kerajaan pada masa sekarang sedang berusaha untuk mengesan mereka,” katanya.
Terdahulu beliau merasmikan program Latihan Kepimpinan Wanita yang dianjurkan Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) di salah sebuah hotel di sini hari ini.
Identiti kedua-dua anggota tentera tersebut dikenal pasti sebagai Koperal David Edmund Rapi, 29, yang berasal dari Dalat dan Lans Koperal Moses Logers dari Bau.
Kedua-dua mereka berketurunan Melanau dan Bidayuh masing-masing dan terlibat di dalam satu operasi di pulau tersebut.
Mereka yang bertugas di Rejimen Keempat Renjer Diraja kali terakhir dilihat di blok penginapan di pulau tersebut sekitar jam 5 petang Hari Jumaat lepas.
Gerakan besar-besaran telah diaktifkan untuk mencari mangsa melibatkan pesawat mencari dan menyelamat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Pulau Perak merupakan pulau batuan granit seluas satu kilometer yang terletak di perairan terhujung barat Semenanjung Malaysia, di perairan Selat Melaka.
Ia merupakan kawasan perlindungan marin.
Mengulas lanjut, Fatimah berkata kerajaan negeri belum memikirkan bentuk bantuan dan hanya akan menunggu perkembangan terkini pencarian tersebut terlebih dahulu. — DayakDaily