Fatimah: 96.2 peratus pelaku kes rogol rapat dengan mangsa

Violence against women and children. — DayakDaily.com file pic. // Photo: PIxabay

KUCHING, 3 Feb: Statistik sejak 2015 menunjukkan 96.2 peratus pelaku dalam kes rogol adalah orang yang dikenali atau rapat dengan mangsa, kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Katanya, ia adalah antara punca berlaku kehamilan remaja dibawah umur 15 tahun dan merupakan jenayah seks terhadap kanak-kanak dan wanita.

“Berdasarkan hubungan diantara mangsa dan pelaku kes rogol sejak tahun 2015, sebanyak 4.7 peratus iaitu 45 kes) adalah bapa kandung.


“Manakala 2.6 peratus iaitu 25 kes adalah bapa tiri, 0.1 peratus iaitu 1 adalah anak sendiri, 2 peratus iaitu 19 kes adalah datuk, 3.2 peratus iaitu 30 adalah bapa saudara.

“Selebihnya, 0.6 peratus iaitu 6 kes adalah abang ipar, 1.1 peratus atau 10 kes adalah abang kandung, 46.7 peratus iaitu 444 kes adalah teman lelaki, 29.8 peratus atau 283 kes adalah orang yang dikenali dan 5.8 peratus iaitu 55 kes adalah orang yang tidak dikenali,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas berhubung kes seorang bekas tukang masak yang dijatuhkan hukuman 17 tahun penjara dan 10 sebatan kerana merogol anak tiri beliau yang berumur 10 tahun yang siarkan akhbar tempatan hari ini.

Sementara itu, Fatimah memaklumkan bahawa kes kehamilan remaja yang melibatkan remaja diantara 10 hingga 15 tahun dan bilangan kes remaja hamil dalam kumpulan tersebut bagi tahun 2020 adalah 6.2
peratus atau 130 orang.

Katanya, bagi kumpulan umur 16 hingga 17 tahun pula adalah 28.3 peratus iaitu seramai 595 orang.

“Ini bererti peratusan kumulatif bagi remaja hamil di Sarawak dalam kumpulan umur 10 hingga 17 tahun pada tahun 2020 adalah 34.5 peratus,” ujar beliau.

Jenayah sumbang mahram adalah kesalahan menurut Kanun Keseksaan Seksyen 376B dan jika disabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara selama 10–30 tahun dan sebatan.

Jumlah kes mangsa jenayah rogol sumbang mahram di Sarawak sejak tahun 2015 adalah 13.8 peratus iaitu 119 daripada keseluruhan kes rogol sebanyak 865 kes. — DayakDaily