Fatimah: 7,516 tangkapan berkaitan dadah pada 2021

Dato Sri Fatimah Abdullah (file photo)

KUCHING, 23 Feb: Sebanyak 7,516 tangkapan berkaitan dadah telah direkodkan sepanjang tahun 2021 yang melibatkan 5,741 operasi penguatkuasaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, 684 tangkapan adalah melibatkan pengedaran dan 1,860 melibatkan pemilikan dadah dan bahan terlarang.

Manakala 4,972 kes adalah berkaitan individu yang disaring positif urin.


“Jumlah tersebut menunjukkan penurunan sebanyak 34.31 peratus berbanding dengan tangkapan dalam tahun 2020.

“Melalui operasi tersebut, sebanyak 272.76kg dadah dan ‘substance’ berbentuk mampat dan 59,031 berbentuk pil telah dirampas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Jabatan Kastam.

“Keseluruhan tangkapan dengan anggaran nilai berjumlah RM21,077,524.32 juta,” katanya pada satu sidang media Laporan Bulanan Jawatankuasa Pusat Sehenti Bagi Menangani Isu Dadah Dan ‘Substance’ di sini, hari ini.

Menurut Fatimah, impak rampasan dadah ini mampu menyekat sebanyak 2,786,626 kali penggunaan dadah dan bahan terlarang dan menyelamatkan 228,528 individu bagi tempoh setahun di Sarawak.

Manakala sepanjang bulan Januari 2022, katanya, sebanyak 568 operasi penguatkuasaan telah dilaksanakan oleh JSJN, Jabatan Kastam, dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Hasil operasi tersebut, katanya, sebanyak 998 tangkapan telah direkodkan yang melibatkan 114 kes pengedaran, 220 ke miliki dadah dan ‘substance’ serta 664 adalah individu yang disaring positif urin.

“Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 31.31 peratus berbanding dengan tangkapan dalam bulan yang sama untuk tahun 2021

“Melalui operasi tersebut, sebanyak 1.01kg dadah dan ‘substance’ berbentuk mampat dan 5 berbentuk pil telah dirampas oleh JSJN dan Jabatan Kastam dengan anggaran nilai berjumlah RM544,000,” ujarnya.

Tambah Fatimah, impak rampasan dadah ini mampu menyekat sebanyak 10,164 kali penggunaan dadah dan bahan terlarang dan menyelamatkan 2,540 individu bagi tempoh sebulan di Sarawak. — DayakDaily