Fasa pertama program vaksinasi untuk petugas barisan hadapan Miri bermula 6 Mac

Kelihatan Lee (tengah, baju biru) semasa bermesyuarat bersama ahli JPBB pada petang semalam (28 Feb 2021) melalui Zoom.
Advertisement

Oleh Jaythaleela K

MIRI, 1 Mac: Fasa pertama program vaksinasi melibatkan petugas barisan hadapan di daerah ini (Miri) dijadualkan bermula pada 6 Mac (Sabtu).

Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin yang juga menteri bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri, memberitahu, program vaksinasi melibatkan petugas barisan hadapan itu akan bermula pada jam 3 petang Sabtu ini di dua lokasi secara serentak.

Advertisement

“Aktiviti pemberian vaksin ini (untuk fasa pertama melibatkan petugas barisan hadapan) ianya dibahagikan kepada dua kategori iaitu Barisan Hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Barisan Hadapan Bukan KKM,” jelasnya pada petang semalam selepas mempengerusikan mesyuarat bersama JPBB.

Beliau menjelaskan program vaksinasi fasa ini akan dibuat di Dewan Kelab Golf Eastwood dan Dewan Dato Permaisuri, Permyjaya.

“Pemberian sebanyak dua dos vaksin dengan selang 21 hari antara dos pertama dan dos kedua dijangka akan tamat pada minggu pertama bulan April 2021,” katanya.

Sebanyak enam pusat pemberian vaksin (PPV) di daerah ini telah dikenalpasti dalam melaksanakan program vaksinasi.

Sebanyak dua (2) PPV dikhususkan untuk barisan hadapan kategori Perubatan KKM iaitu Hospital Miri dan Hospital Marudi.

Sementara itu, sebanyak empat PPV dikhususkan untuk barisan hadapan Kesihatan Awam KKM dan Bukan KKM iaitu Dewan Eastwood; Dewan Dato Permaisuri, Permyjaya; Dewan Suarah Marudi dan Dewan Masyarakat Bekenu.

Petugas-petugas PPV akan berada di PPV dari jam 8 pagi membuat persiapan dan persediaan secara harian di semua PPV yang disenaraikan.

Untuk sesi vaksinasi berikutnya, waktu pemberian vaksin dijadualkan bermula dari jam 9 pagi hingga 4 petang, dengan waktu rehat antara jam 1 petang hingga 2 petang. — DayakDaily

Advertisement