Abdul Karim: Sng ambil tindakan tepat keluar PKR

Abdul Karim (tengah) ketika ditemui di Kuching hari ini (1 Mac, 2021).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 1 Mac: Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menyifatkan keputusan MP Julau Larry Sng meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak adalah tindakan yang tepat.

Katanya, bekas Pengerusi PKR Sarawak itu adalah ahli politik yang sudah matang dengan 20 tahun pengalaman dan telah membaca keadaan politik semasa dengan baik.


“Dengan pengalaman 20 tahun sebagai ahli politik, beliau (Sng) mesti sudah boleh membaca keadaan, perasaan nadi rakyat dan selain itu melihat bagaimana pentadbiran kerajaan yang ada pada masa ini.

“Saya percaya untuk beliau keluar daripada PKR dan memberi sokongan kepada (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) menunjukan keyakinan beliau terhadap kepimpinan perdana menteri dan kepercayaan beliau tentang apa yang telah dilakukan Perikatan Nasional (PN) adalah yang terbaik,” katanya ketika ditemui di Kuching hari ini.

Tambah Abdul Karim yang juga Menteri Belia dan Sukan, Sng tidak akan membuat keputusan itu jika merasakan bahawa pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) boleh memenangi pilihanraya dan mungkin lebih baik daripada Muhyiddin.

Katanya, beliau sudah tentu akan menunggu sehingga pilihanraya umum diadakan.

Sng pada semalam bersama Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong Shiau Yoon telah menyerahkan Akaun Bersumpah kepada Muhyiddin yang menyatakan sokongan kepada kerajaan PN.

Sng menyertai PKR selepas memenangi kerusi Parlimen Julau pada Pilihan Raya Umum ke-14 dan tahun lalu, beliau dilantik sebagai Pengerusi PKR Sarawak susulan peletakan jawatan Baru Bian yang keluar parti. — DayakDaily