FAMA akan daftar orang tengah untuk elak penindasan di sektor pertanian

Ishak berselfie dengan peserta acara berbasikal sempena pelancaran program Jualan My Best Buy anjuran FAMA di Padang Merdeka.

KUCHING, 7 Feb: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan mendaftar semua orang tengah dalam pemasaran produk pertanian di seluruh negara untuk mengatasi masalah penindasan.

Pengerusi FAMA Ishak Ismail berkata proses pendaftaran terbabit, yang dikenali sebagai “Daftar Pemasar”, akan bermula pada pertengahan tahun.

“Kita akan memulakannya (Daftar Pemasar) di seluruh negara. Kita cadangkan April kerana kita sudah bersiap sedia,” katanya ketika merasmikan program “Jualan My Best Buy” anjuran FAMA sempena perlumbaan basikal Le Tour De Langkawi, di sini, malam tadi.


Ishak melepaskan peserta acara berbasikal sempena pelancaran program Jualan My Best Buy anjuran FAMA.

Ishak berkata selain mengatasi isu penindasan orang tengah, Daftar Pemasar juga membolehkan FAMA mengenalpasti siapa orang tengah terbabit, komoditi yang mereka dagangkan dan juga lokasi mereka.

Katanya dengan adanya maklumat terbabit, FAMA juga akan dapat berhubung cepat dan mudah dengan mereka dan seterusnya membantu kerajaan membangunkan sektor pertanian negara ini dengan lebih baik.

“Kita akan memulakan pendaftaran terbabit dari ladang iaitu peringkat pengeluaran. Peringkat keduanya, kita daftarkan mereka (orang tengah) yang membeli hasil-hasil dari ladang ini,” katanya.

Tambah beliau, proses pendaftaran seterusnya, akan merangkumi orang tengah di setiap rantaian nilai pemasaran produk pertanian sehinggalah sampai kepada pembeli produk hiliran pertanian. — DayakDaily