Faktor Masing pastikan Baleh kekal milik GPS

Kapit Town Square

KAPIT, 11 Dis: Faktor kepimpinan mendiang Tan Sri James Masing di Dewan Undangan Negeri (DUN) Baleh pastikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus menguasai kerusi tersebut selesai Pilihanraya Negeri (PRN) 18 Disember ini.

Walaupun GPS meletakkan calon baharu di kalangan orang muda, penduduk di Baleh khususnya penyokong tegar akan terus bersama GPS.

Namun menurut seorang penduduk Baleh yang berusia 50-an dari Nanga Antawau, GPS yang diwakili Nicholas Kudi Jantai bakal menghadapi tentangan sengit dari Koh Kumbong dari Parti Sarawak Bersatu (PSB).


“Jika mendiang Tan Sri Masing ada, kerusi DUN Baleh sukar digugat oleh mana-mana pihak.

“Sekarang pengganti Masing merupakan orang muda, mungkin pengundi kurang mengenali beliau.

“Apa-apa pun, GPS akan menang di Baleh tetapi dengan tentangan sengit daripada Koh,” katanya ketika ditemui DayakDaily di Pekan Kapit hari ini.

Beliau meramalkan Nicholas, 36, yang merupakan anak saudara kepada mendiang Masing akan terus mendapat sokongan kuat dari pengundi di kawasan Batang Mujong, Batang Gat dan kawasan Sungai Merirai.

Manakala di Batang Baleh tambah beliau, mungkin ada sedikit perpecahan dengan sebahagian memihak kepada Koh.

Kerusi DUN Baleh yang merupakan majoriti pengundi Iban turut dicabar oleh Kenneth Usang George dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Sukarno Layau dari Parti Bumi Kenyalang (PBK).

Nicholas merupakan Setiausaha Politik Ketua Menteri dari Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Menariknya, kesemua mereka merupakan calon muka baharu yang ditampilkan oleh parti masing-masing.

Turut berkongsi pendapat adalah seorang pengusaha van tambang dari Pekan Kapit ke Lepong Baleh yang meramalkan GPS akan terus menguasai kerusi tersebut nanti.

Katanya, kedengaran daripada suara-suara pengundi di Baleh bahawa tiada masalah bagi GPS tetapi jangan diambil ringan tentangan Koh.

“Walaupun menampilkan calon baharu, faktor kepimpinan mendiang Masing akan memastikan GPS kekal menguasai kerusi tersebut,” ujar beliau.

Pada PRN Ke-11, mendiang Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri mempertahankan kedudukannya di kerusi berkenaan untuk penggal kelapan selepas menewaskan Agop Linsong daripada DAP dengan majoriti 4,793 undi.

Masing yang juga Presiden PRS meraih 5,272 undi manakala Agop mendapat 479 undi dalam pertembungan satu lawan satu. — DayakDaily