Fadillah seru warga kerja raya terokai teknologi terkini dan hasilkan inovasi baharu

Dato Sri Fadillah Yusof

KUCHING, 30 Dis: Warga kerja raya digalakkan untuk meneroka dan memanfaatkan teknologi terkini serta menghasilkan inovasi-inovasi
baharu dalam bidang teknikal.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ini berikutan tren semasa dimana pekerjaan yang bakal mengambil alih
pasaran adalah pekerjaan berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI), digital, robotik dan teknologi baharu.

“Merujuk kepada statistik Forum Ekonomi Dunia 2018, menjelang tahun 2022, dianggarkan 133 juta jenis pekerjaan di dunia akan berubah
menjadi pekerjaan baharu.


“Manakala, 75 juta bidang pekerjaan lagi akan pupus akibat perkembangan teknologi,” katanya semasa Majlis Penutupan Hari Profesion
Teknikel Negara (HPTN) 2020 secara maya hari ini.

Tambah Fadillah, mendepani dunia tanpa sempadan merupakan satu cabaran bagi warga teknikal.

Justeru katanya, penggunaan instrumen teknologi secara meluas akan menjadikan Malaysia lebih berdaya saing dengan negara luar.

“Oleh yang demikian, kita perlu berani bergerak jauh ke hadapan dengan mempelopori teknologi, melahirkan pencipta dan bukan sekadar menjadi pengguna semata-mata.

“Saya mengambil contoh perkhidmatan penghantaran makanan oleh beberapa syarikat yang menggunakan teknologi aplikasi mudah alih dan laman
sesawang bagi membuat pesanan makanan. Begitu juga dengan sistem e-wallet dan perkhidmatan JomPay yang makin luas penggunaannya.

“Fenomena perkhidmatan ini seiring dengan zaman perkembangan teknologi yang mana semua orang inginkan perkhidmatan yang pantas dan mudah
hanya di hujung jari,” ujar beliau.

Mengulas berhubung penganjuran HPTN 2020 dengan tema “Masa Depan Adalah Kita”, beliau berkata ia adalah medium untuk mempromosikan
bidang teknikal di kalangan generasi baharu.

Fadillah berharap lebih ramai pelajar-pelajar sekolah dan pusat pengajian tinggi memilih bidang teknikal sebagai profesion pilihan utama.

Ujar beliau, ilmu dan kepakaran dalam bidang teknikal mampu memacu pembangunan sesebuah negara.

Pelbagai aktiviti menarik telah dirangka secara atas talian sepanjang sambutan HPTN 2020 dan antaranya ialah siri webinar dan 11 acara pertandingan.

Pelbagai pertandingan telah diadakan secara maya termasuklah tiga kejohanan e-sport iaitu ‘virtual run’, PUBG dan Mobile Legends,
pertandingan fotografi, LEGO Education, Digital Poster, pengaturcaraan drone dan lain-lain.

Dalam tempoh masa seminggu selepas pelancaran pada 5 Disember lepas, HPTN 2020 berjaya merekodkan lebih daripada 100,000 pengunjung
maya. — DayakDaily