Fadillah: Politik Sarawak terus stabil, GPS bawa kemajuan

Dato Sri Fadillah Yusof

KUCHING, 30 Dis: Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusuf berharap politik Sarawak akan terus stabil dengan rakyat khususnya generasi muda memahami aspirasi perjuangan pemimpin masa kini.

Beliau yang juga Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, ia penting untuk masa depan negeri dan negara yang lebih terjamin.

Fadillah percaya asas ekonomi Sarawak akan terus kukuh di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang telah membawa Sarawak di landasan yang tepat ke arah mencapai Sarawak Negeri Maju 2030.


“Kerajaan diterajui GPS dengan Abang Johari (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) selaku Ketua Menteri akan mencapai lebih banyak kemajuan dalam rundingan dengan kerajaan persekutuan khususnya melibatkan hak-hak Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Fadillah berkata demikian menerusi satu kenyataan “Harapan dan Resolusi Tahun Baharu 2021” hari ini.

Di samping itu, beliau yang juga Menteri Kanan Kerja Raya berharap ekonomi negara akan kembali rancak pada tahun 2021.

Ujar beliau, sektor pembinaan menjadi antara penyumbang utama ke arah memacu kembali ekonomi yang terkesan akibat penularan Covid-19.

“Bajet RM7.35 bilion bagi sektor pembinaan dan pembangunan infrastruktur negara akan dimanfaatkan sepenuhnya dan mampu menarik pelaburan, memperkukuhkan sektor ekonomi dengan memberi fokus kepada automasi dan pendigitalan.

“Saya juga berharap kesemua projek infra yang diluluskan dibawah Bajet 2021 Kementerian Kerja Raya dapat dilaksanakan mengikut perancangan demi kesejahteraan rakyat,” ujar Fadillah. — DayakDaily