Fadillah: Penghuni bangunan terbiar di Jalan Matang orang luar, tetap dibantu

Penghuni bangunan terbiar di Batu 9, Jalan Matang menerima bantuan makanan dari GPS.

KUCHING, 4 Julai: Keluarga tinggal secara haram di bangunan kedai terbiar di Batu 9, Jalan Matang bukannya penduduk asal Petra Jaya seperti didakwa.

Menurut Menteri Kanan Kerja Raya merangkap MP Petra Jaya Dato Sri Fadillah Yusof, hasil siasatan mendapati 15 keluarga tinggal secara haram dan disahkan sebagai orang luar.

“Malah salah seorang daripadanya berasal dari Sabah dengan isterinya warga Indonesia, dikenalpasti sebagai pendatang tanpa izin.

“Individu dari Sabah berusia 33 tahun itu bekerja sebagai buruh kasar, manakala isterinya berasal dari Bandung, Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fadillah mengulas berhubung ‘posting’ di Twitter oleh pemegang akaun twitter @apanakdikato.

Twitter berbunyi “Nama je Menteri Kerja Raya, tapi rakyat di parlimen sendiri tinggal di kawasan terbiar…Ingatkan ada 1 keluarga je, rupanya ada 6 keluarga duk di situ” yang dimuatnaik di twitter pada jam 1.29 pagi semalam.

Malah tambah Fadillah, seramai 14 keluarga yang tinggal di situ, lima berasal dari Lubok Antu, tiga dari Lundu, tiga dari Sri Aman dan masing-masing seorang dari Kapit, Betong dan Bintawa Ulu.

“Kebanyakan mereka bekerja sebagai buruh kasar, selain ada yang bekerja di kedai makan, kedai kopi, wireman dan juga ada yang menganggur,” ujarnya.

Menurut Fadillah lagi, Gabungan Parti Sarawak (GPS) khususnya Pusat Khidmat Parlimen Petra Jaya juga sudah beberapa kali menghantar bantuan makanan asas.

Bantuan atas dasar perikemanusiaan termasuk beras, gula, mi segera, bihun, telur, cordial dan tepung untuk kesemua penghuni yang tinggal di bangunan terbiar itu.

“Justeru untuk mana-mana pihak membuat tuduhan palsu dengan mendakwa penghuni terbabit adalah penduduk asal Petra Jaya yang dibiarkan tanpa dibantu, adalah amat keterlaluan, fitnah dan tidak bertanggungjawab.

“Biarpun ramai juga penduduk di Petra Jaya bukan warga asal Petra Jaya serta bukan pengundi, namun saya tidak melihat perkara itu sebagai alasan untuk kita tidak membantu mereka yang memerlukan bantuan,” tegas Fadillah. — DayakDaily