KUCHING, Jan 31: Wakil rakyat di negeri ini menyokong cadangan kerajaan untuk mengkaji menggubal undang-undang berkaitan penyebaran berita palsu di media sosial berikutan kesannya yang membimbangkan.
Antara penyokongnya Ahli Parlimen Petra Jaya yang juga Menteri Kerja Raya, Dato Sri Fadillah Yusof yang merasakan penyebaran berita palsu di laman sosial ketika ini bukan sahaja boleh menyebabkan rakyat negara ini hidup dengan tidak selesa malahan boleh menganggu ketenteraman mereka serta merasa tidak selamat.
“Saya sokonglah, sebab berita palsu ini bukan sahaja boleh menyebabkan tidak selesa, tidak tenteram malahan rasa tidak selamat di kalangan rakyat Malaysia. Bayangkan kalau ianya (berita palsu) membabitkan sesorang individu, bukan sahaja individu itu sahaja malahan semua ahli keluarganya juga akan merasa tidak selesa,” katanya semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat/Dialog Penelitian Kerja-Kerja Pembaikan Kerosakan dan
Penambahbaikan Pelan Pengurusan Trafik (‘Traffic Management Plan’ atau TMP) Pelaksanaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak di sini, hari ini.
Fadillah berkata yang paling merbahaya adalah sekiranya berita palsu di laman sosial tersebut adalah yang boleh
menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam kerana ada mengandungi unsur pelampau dan subversif dengan berita berkenaan yang hanya dapat dihalang penyebarannya sekiranya negara ini sudah bersedia dengan undang-undang berkaitan yang tegas.
Beliau malahan mendedahkan di satu negara jiran kini sekiranya ada individu mengeluarkan kenyataan atau berita palsu di laman sosial memburukkan pemimpin negara terbabit, individu terbabit dengan cepat dapat didakwa mengunakan undang-undang membenteras penyebaran berita palsu keesokan harinya.
“Banyak negara sudah mengambil tindakan (undang-undang membanteras berita palsu di laman sosial) yang tegas, cuma mungkin di negara kita ini tindakan itu masih lambat sedikit,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini yang kerajaan akan mengkaji untuk menggubal undang-undang berkaitan penyebaran berita palsu di media sosial berikutan kesannya yang membimbangkan.
Najib berkata, tindakan tidak bermoral itu boleh mengancam kestabilan politik dan ketenteraman awam dan rakyat juga boleh terpesong seperti membenci kerajaan dan merusuh hanya kerana terpedaya dengan berita palsu.
Ini juga bukan kerana kerajaan mahu mengawal Internet tetapi mahu pengunaannya ada unsur bertangungjawab kerana Barisan Nasional (BN) menjadi mangsa setiap kali pilihan raya dengan pelbagai penyebaran berita palsu termasuk dakwaan 40,000 pengundi hantu dari Bangladesh dibawa masuk ke negara ini sedangkan perkara itu tidak benar. — DayakDaily