Fadillah: Malaysia – Indonesia boleh bangunkan laluan keretapi sempadan Sarawak dan Kalimnatan

Dato Sri Fadillah Yusof
Advertisement

KUCHING, 27 Feb: Malaysia dan Indonesia mungkin sama-sama boleh merancang untuk membangunkan laluan kereta api di sempadan Sarawak dan Kalimantan, kata Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof.

Menurut laporan TVS, beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, ia bagi mengangkut barangan dari Kalimantan ke Bintulu, menggunakan kemudahan Pelabuhan Bintulu.

“Mungkin Kerajaan Persekutuan boleh bantu Kerajaan Sarawak untuk berunding dengan pihak Indonesia untuk menyediakan jalan kereta api untuk kemudahan mengangkut barangan dari Kalimantan pergi ke Pelabuhan Bintulu, menggunakan kemudahan Pelabuhan Bintulu.

Advertisement

“Sebab kalau ikut jaringan, jalan laut agak jauh, jadi itu boleh memudahkan Indonesia untuk eksport sebab Kalimantan banyak sumber.

“Jadi kalau kita dapat manfaatkan..boleh dibangunkan secara bersama dengan Indonesia,” katanya dalam temubual khas dengan Bernama baru-baru ini.

Berikutan pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan, Fadillah memaklumkan kedua-dua negeri itu perlu ‘mempersiapkan diri’.

Ini terutamanya dari aspek pembangunan sempadan dan meneroka jalinan Business-to-Business (B2B) antara kedua-dua negara.

Katanya, antara aspek pembangunan sempadan yang akan diberi tumpuan ialah penambahbaikan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di sepanjang sempadan utama antara Sabah, Sarawak dan Kalimantan, susulan pembangunan Nusantara, ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan Timur.

“Pembangunan bandar-bandar di sempadan Kalimantan, Sabah dan Sarawak perlu dipercepatkan.

“Ini terutamanya untuk tambah baik CIQ, jalan menuju ke CIQ di sempadan-sempadan utama antara Sabah, Sarawak dan Kalimantan,” katanya.

Kementerian Kewangan sebelum ini meluluskan peruntukan tambahan RM1 bilion bagi projek menaik taraf dan membina infrastruktur yang lebih baik di sepanjang sempadan Sarawak dan Sabah, terdiri daripada 1,881km yang memisahkan Sarawak dan Sabah di Malaysia dan wilayah Kalimantan di Indonesia.-dayakdaily

Advertisement