Fadillah: Kerja Pembinaan kritikal boleh diteruskan sepanjang PKP

Dato Sri Fadillah Yusof

KUCHING, 12 Jan: Kerja pembinaan kritikal boleh diteruskan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) yang dilaksanakan di enam negeri.

Menteri Kanan Infrastruktur Datuk Seri Fadillah Yusuf berkata, kebenaran diberikan kepada lima kategori iaitu kerja-kerja yang
dimasukkan ke dalam senarai perkhidmatan perlu.

“Kementerian Kerja Raya ingin merujuk kepada Perutusan Khas Perdana Menteri pada 11 Januari 2021 mengenai Pelaksanaan PKP di enam negeri iaitu Johor, Melaka, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, Selangor, Pulau Pinang dan Sabah.


“Bagi mengawal penularan wabak Covid-19 di dalam sektor pembinaan, semua kerja pembinaan di dalam negeri-negeri yang terlibat perlu
dihentikan sepanjang PKP yang bermula pada 13 Januari 2021.

“Akan tetapi, bagi memastikan kelangsungan sektor pembinaan, pengecualian adalah diberikan ke atas kerja-kerja yang dimasukkan ke
dalam senarai perkhidmatan perlu,” kata Fadillah menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau lagi, kerja-kerja di dalam senarai perkhidmatan perlu melibatkan lima kategori.

Pertama, penyelenggaraan dan pembaikan kritikal iaitu kerja yang mana jika tidak diteruskan boleh mendatangkan bahaya atau kemudaratan kepada pekerja, orang awam atau persekitaran.

Kedua, pembinaan infrastruktur awam utama di mana kerja-kerja ini banyak menggunakan jentera atau tidak melibatkan ramai pekerja
berkumpul di satu tempat atau jauh dari orang awam atau lokasi tapak bina di kawasan yang terpencil.

Ketiga melibatkan pembinaan bangunan untuk projek yang menyediakan penginapan pekerja yang lengkap di tapak bina atau pekerja yang
ditempatkan di Kuarters Pekerja Berpusat(CLQ) dan majikan perlu menyediakan pengangkutan pekerja dari CLQ ke tapak bina dan balik ke
CLQ.

Keempat, perkhidmatan profesional dan perunding hanya boleh dilaksanakan bagi kerja-kerja yang dibenarkan beroperasi seperti yang
tersenarai di kategori 1 dan 3.

Manakala kelima ialah perkhidmatan lain di dalam rantaian bekalan seperti bekalan bahan binaan, penghantaran bahan dan sebagainya
dibenarkan tetapi terhad kepada tapak bina yang diluluskan beroperasi berdasarkan kepada kerja-kerja yang tersenarai di kategori 1 dan 3.

“Kebenaran beroperasi untuk semua kategori syarikat pembinaan yang terlibat dengan sesuatu projek, perlu diperolehi dari MITI melalui portal CIMS MITI di notifications miti.gov.my.,”ujar Fadillah. – DayakDaily