Fadillah: GPS tidak terlibat PRN Johor

Dato Sri Fadillah Yusof

KUCHING, 29 Jan: Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak akan terlibat di dalam Pilihanraya Negeri (PRN) Johor, kata Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Fadillah Yusof.

Menurut beliau yang juga Menteri Kanan Kerja Raya, GPS hanya akan memantau perjalanan pilihanraya tersebut seperti yang berlaku di Melaka pada November lepas.

“Sebagai sebuah parti, kita (GPS) tidak terlibat di dalam PRN Johor.


“Kabinet juga telah memutuskan bahawa kementerian tidak boleh terlibat,” katanya ketika ditemui di Majlis Penyampaian Sumbangan Sempena Sambutan Tahun Baru Cina 2022 di Dewan SUPP Matang di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 9 Februari ini bagi membincangkan tarikh-tarikh penting PRN Johor seperti Hari Penamaan Calon dan Hari Pengundian, tarikh writ pilihan raya dan daftar pemilih yang akan digunakan.

SPR secara rasminya telah menerima notis daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berhubung pembubaran DUN Johor penggal ke-14 pada 23 Januari lepas.
PRN Johor diadakan selepas DUN dibubarkan selepas diperkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar setelah Baginda menerima menghadap Menteri Besar Datuk HasnI Mohammad di Istana Bukit Serene, Johor baru-baru ini.

Pilihan raya itu diadakan ekoran kedudukan kerajaan pimpinan Hasni hanya memiliki kelebihan satu kerusi apabila blok kerajaan hanya menguasai 28 DUN manakala Pakatan Harapan pula 27 kerusi daripada 56 DUN. — DayakDaily