KUCHING, 30 Julai: Sebanyak 85 peratus tapak pembinaan di negara ini yang telah diperiksa setakat ini dapati mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bagi mencegah Covid-19 di tapak itu.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ini dari keseluruhannya sebanyak 3,785 tapak pembinaan yang beroperasi di negara ini yang diperiksa dari 20 April sehingga 19 Julai lepas.
“Sebanyak 3,225 tapak pembinaan terbabit yang sekitar 85 peratus mematuhi SOP, kita ada sekitar 14 peratus yang tidak mematuhi (SOP) dan mereka telah diberi amaran serta sembilan (tapak pembinaan) atau satu peratus tidak mematuhi (SOP) dan kami telah berikan arahan pemberhentian kerja,” katanya ketika ditemubual dalam rancangan “Face To Face” di TRAXXfm, hari ini.
Fadillah berkata tapak pembinaan yang menerima arahan pemberhentian kerja tersebut hanya akan dibenarkan memulakan kembali kerja di tapak setelah dapat mematuhi semua SOP berkenaan yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan.
Katanya pemeriksaan itu dijalankan satu pasukan ditubuhkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Sumber Manusia, pihak berkuasa tempatan dan polis.
“Kalau kamu lihat sebanyak 85 peratus (tapak pembinaan mematuhi SOP) ini adalah satu jumlah yang baik,” katanya yang gembira dengan kadar pematuhan itu setakat ini.
Fadillah berkata bagi mematuhi SOP tersebut memang menyebabkan kos tambahan bagi industri pembinaan seperti menyediakan sanitizer tangan, ujian Covid-19 dan ruang tambahan berehat, makan dan sebagainya kepada pekerja.
“Sekiranya tidak (mematuhi SOP terbabit), mereka juga (industri pembinaan) akan terjejas kerana perniagaan akan ditutup dan akan kerugian lebih banyak lagi,” katanya.
Beliau juga sudah melawat lima tapak pembinaan dan mendapati ada industri pembinaan yang kreatif dengan menyediakan sendiri peralatan digital bagi mematuhi SOP seperti alat pengecaman muka, pendaftaran automatik, kod bar dan sebagainya. ā DayakDaily