Fadillah berazam membina lebih banyak rumah mampu milik di kawasan Petra Jaya sekiranya menang dalam PRU14

Datuk Seri Fadillah Yusof

KUCHING, April 24: Menteri Kerja Raya dan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Petra Jaya, Dato Sri Fadillah Yusof berazam membina lebih banyak rumah mampu milik di kawasan Petra Jaya sekiranya sekali lagi dipilih sebagai wakil rakyat di kawasan parlimen itu.

“Komitmen saya kepada warga P194 Petra Jaya adalah untuk meneruskan kesinambungan pembangunan fizikal khususnya infra rakyat dan infra sosial termasuk menyediakan lebih banyak rumah mampu milik,” katanya dalam kenyataan medianya hari ini.

Fadillah adalah antara terpilih sebagai 31 calon BN yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).


Disamping membina rumah mampu milik, Fadillah juga berazam mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan serta merancakkan lagi pembangunan modal insan, pembangunan pendidikan dan latihan kemahiran di samping pembangunan sahsiah di kawasan Parlimen Petra Jaya.

“Ia adalah satu amanah dan tanggungjawab yang perlu saya pikul sebaik mungkin. Saya berikrar tidak akan mempersia-siakan kepercayaan ini dan akan berkhidmat sebaik mungkin, jika terpilih sekali lagi untuk menjadi Ahli Parlimen di kawasan Petra Jaya pada pilihan raya kali ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap sokongan berterusan diberikan penduduk Petra Jaya kepada BN pada hari pengundian PRU14 pada Mei 9, bagi membolehkan mereka bersama menerus dan merancakkan lagi agenda pembangunan di kawasan Parlimen Petra Jaya untuk tempoh lima tahun lagi.

Disamping itu beliau juga berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, selaku Pengerusi Barisan BN Pusat dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg selaku Pengerusi Barisan BN Sarawak kerana mencalonkannya sekali lagi bagi mempertahankan Parlimen Petra Jaya.

“Kepada rakan-rakan seperjuangan dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang tidak mempertahankan kerusi masing-masing, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih. Sesungguhnya semangat perpaduan yang kukuh dan prinsip meletakkan keutamaan parti melebihi kepentingan diri menjadi nadi kekuatan PBB selaku tonggak BN Sarawak selama ini,” katanya yang juga Naib Presiden Kanan PBB.

Antara mereka yang tidak mempertahankan kerusi masing-masing dari PBB ialah Tan Sri Dr Muhammad Leo Micheal Toyad (bekas Ahli Parlimen Mukah); Datuk Wahab Dolah (bekas Ahli Parlimen Igan); Datuk Dr James Dawos Mamit (bekas Ahli Parlimen Puncak Borneo); Datuk Ahmad Lai Bujang (bekas Ahli Parlimen Sibuti) dan Datuk Norah Tun Rahman (bekas Ahli Parlimen Tanjong Manis).

“Mereka adalah contoh terbaik pemimpin yang telah banyak berjasa dan menyumbang kepada parti, rakyat, negeri dan negara ini, namun telah memilih untuk berundur demi memberi laluan kepada muka baru untuk meneruskan perjuangan dan khidmat bakti,” katanya. — DayakDaily