Estet Perindustrian Sematan 89 peratus siap — Mussen

Datuk Malcolm Mussen Lamoh (file photo)

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 18 Mei: Status pelaksanaan Estet Perindustrian Sematan kini di tahap 89 peratus dan dijadualkan siap pada tahun ini, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Pelaburan Datuk Malcolm Mussen Lamoh.

“Bagi memastikan projek-projek tersebut siap mengikut jadual, kementerian sentiasa membuat pemantauan rapi.


“Ia dilaksanakan dengan mengadakan mesyuarat pemantauan mingguan bersama kontraktor dan juruperunding dan lawatan ke tapak projek,” katanya.

Mussen berkata demikian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menjawab soalan Adun Tanjong Datu Azizul Annuar Adenan di Kompleks DUN di sini, hari ini.

Manakala bagi Projek Anjung Usahawan Sematan dan Anjung Usahawan Telok Melano, Mussen memaklumkan bahawa kedua-duanya mengalami kelewatan dengan status pelaksanaan masing-masing adalah 21 peratus dan 28 peratus.

“Antara punca kelewatan adalah masalah pengurusan kontraktor, kekurangan bekalan bahan binaan, perubahan skop kerja, faktor cuaca dan kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik Covid-19,” ujar beliau.

Tambah Mussen yang juga Adun Batang Ai, kementerian menyediakan bantuan kewangan bagi membantu usahawan Sarawak termasuk di Tanjung Datu, Sematan dan Telok Melano,

Ia melibatkan Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (Spiks), Graduan Ke Arah Keusahawanan (Gerak), Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV) dan Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS).

“Setakat ini, sebanyak 17 PKS Tanjung Datu, Sematan dan Telok Melano telah dibantu dengan nilai bantuan kewangan berjumlah RM426,000 melalui SPIKS, GERAK, USTEV, SKMS dan program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (Tube).

“Kementerian juga membantu mereka dari aspek promosi dan pemasaran produk supaya mereka dapat meluaskan pasaran ke peringkat domestik dan antarabangsa.

“Seramai enam usahawan dari Lundu telah dibantu melalui program promosi produk “Kedey Kita” yang akan disiarkan di TV Sarawak,” ujar beliau. — DayakDaily